ATOK KU SAYANG

Arwah Sulaiman Bin Besar, atok ku memang nampak serius orangnya. Masa aku kecil-kecil dulu memang takut sekali kalau atok marah, sekali dia jenggilkan bijik mata….kecutnya perut tuhan saja yang tahu.


Atok yang ku pangil Che sebenarnya walaupun nampak serius tapi penyayang. Kenangan masa kecik aku tak berapa ingat sangat tetapi yang aku ingat sangat ialah rumah Che dan Mok Mek memang sentiasa penuh dengan budak-budak mengaji Quran. Memang Che dan Mok sukarela mengajar budak-budak kampong belajar mengaji. Aku pun turut mengaji dengan Che dan Mok.. Kebiasaannya Mok dan Che akan keluar bekerja sebelah pagi dan bila dah dekat waktu makan tengahari Mok dan Che akan berhenti. Lepas sembahyang zuhur, Mok dan Che akan mula mengajar budak-budak mengaji, kemudian barulah mereka makan tengahari, biasanya selepas makan tengahari mereka akan berehat sekejap sebelum menyambung kembali kerja mereka berbakti kepada tanah..


Sewaktu aku sekolah menengah di Kelantan dan tinggal di Asrama. Bila hujung bulan aku mesti balik ke rumah Mok dan Che di kampung. Happy sangat sebab walaupun jauh dengan keluarga di Sabah, waktu itu….aku tetap ada Mok dan Che tempatku bermanja.


Mok dan Che banyak mengajar aku tentang erti hidup dan kehidupan, walaupun mereka tidak pandai menulis dan membaca, tetapi hati mereka ‘terang’ terutama bab-bab agama. Banyak hal ehwal agama yang aku belajar daripada Mok dan Che. Kebiasaannya, bila aku ada masa, ada saja cerita-cerita daripada akhbar atau cerita-cerita menarik akan ku ceritakan pada mereka. Mok dan Che memang suka mendengar aku berceloteh. Ada masanya aku mendengar Mok bercerita, cerita zaman dia masa kanak-kanak, ada yang lucu buat aku ketawa tak berhenti dan ada juga cerita sedih.


Che pulak tak banyak cakap. Orangnya agak pendiam, kalau ketawa langsung tak berbunyi….cuma nampak senyumannya yang melebar. Che memang hensom….heheheh…rupanya macam hero hindustan, hidung tinggi…macho agaknya zaman muda-muda dulu…hehehe Macam Mok, Che orangnya kuat bekerja….ada saja yang dikerjakan dengan Mok….tanam padi la…tanam tembakau, tanam pokok-pokok buah-buahan dan sebagainya. Sampai sekarang pokok-pokok yang Che dan Mok tanam macam Pauh(mangga), durian, duku, langsat dan rambutan sampai sekarang dapat dinikmati oleh anak dan cucu…Murah rezeki kami, terima kasih Mok..Che….


Hemmm…Che orangnya memang simple, tak suka nak melawa, kalau dia dah suka baju atau kain pelikat yang tu… yang tu ler yang dia akan pakai memanjang. Puaslaa aku dan Mok memujuk terutama kalau hari jumaat atau hari raya…. Puas memujuk, barulah dia nak memakai baju-baju baru yang dia ada… Che..Che…


Bila Mok jatuh sakit, tak lama lepas tu Che pulak jatuh sakit…pendek kata Hospital menjadi rumah kedua kami. Bila Mok keluar Hospital, Che pulak masuk Hospital, itulah masa aku balik daripada UK, aku banyak menghabiskan masaku bersama Mok dan Che.


Masih ku ingat lagi tatkala Mok menghembuskan nafasnya yang akhir, aku berada disisi Mok. Waktu itu Abah dan Che mengajar Mok mengucap….Allah…Allah… Allah…itulah yang disebut oleh Abah dan Che berulang-ulang. Aku waktu itu hanya memerhatikan saja dengan sayu. Ku lihat mata Mok memandang sekeliling kepada suaminya, anak-anaknya dan cucu-cucunya yang duduk berkeliling seolah-olah mengucapkan Selamat Tinggal. Hatiku meronta-ronta….dalam hati aku berkata “ Mok jangan tinggalkan kami….” Namun aku tidak berdaya menahan kehendak takdir. Mok menghembuskan nafasnya yang akhir.


Selepas pemergian Mok menemui ilahi, itulah kali pertama aku melihat Abah menangis…Che jugak menangis…tidak dapat ku bayangkan kesedihan Che…yang ditinggalkan isteri setelah sekian lama berkongsi hidup daripada zaman muda kepada usia tua. Airmataku juga mengalir….


Tak lama selepas pemergian Mok, aku kemudian mula bekerja di UNIMAS, dan seterusnya aku melanjutkan pelajaran di Australia. Hati memang sedih untuk meninggalkan Malaysia kali kedua. Masih ku ingat sewaktu aku bersalam dan mencium tangan Che sebelum berlepas ke Airport…Che menghantarku ke muka pintu...bukan dengan senyuman tetapi dengan airmata. Sebak rasanya dadaku…namun ku kuatkan semangat dan cekalkan hati…


Lebih kurang seminggu lebih aku berada di Melbourne, Australia, aku mendapat tahu yang Che telah pergi menemui Ilahi. Hatiku sayu dan pilu…apatah lagi berada jauh di rantauan. Aku terkenangkan Che yang menghantarku dengan linangan air mata…rupanya itulah lambaian terakhir daripada Che untuk ku


Sehingga kini aku sentiasa terkenangkan Mok dan Che yang ku sayangi…Aku harap satu masa aku akan berpeluang bercerita dengan anak-anak saudaraku dan bakal anak-anakku mengenai Mok dan Che…Mereka tetap abadi dalam kenangan dan ingatanku . Al-Fatihah


Nenek Ku Sayang