MOK MEK TERSAYANG

Ingatanku yang paling kekal hingga kini ialah ingatan terhadap arwah Atok Sulaiman (Che) dan Nenek (Mok Mek), ibu dan ayah kepada Abahku. Mereka adalah Atok dan Nenek yang penyayang. Banyak insipirasi yang ku dapati daripada mereka.


Sewaktu aku hendak berlepas ke UK melanjutkan pelajaran ke peringkat Masters, hatiku terasa berat sekali untuk meninggalkan bumi Malaysia. Waktu itu Mok Mek, baru saja didapati mengidap barah buah dada. Buah dada kanannya ada ketubuhan yang selama ini dirahsiakan. Mok Mek berubat cara kampong. Maklumlah orang tua, memang takut hendak ke hospital.


Bila aku berhenti kerja, dan cuti selama sebulan di kampong,sebelum ke UK Abah memberitahu aku mengenai ketumbuhan pada buah dada Mok Mek. "Abah dan tak kuasa lagi, semua (pakcik, makcik dan sepupuku) dah cuba memujuk Mok Mek, supaya berjumpa doktor di Hospital tetapi tidak berjaya, sekarang cuba Maa (panggilan manja di rumah) pula yang pergi, mana tahu Maa boleh pujuk Mok Mek," kata Abah. Abah memang tahu Mok Mek memang rapat denganku.


Jadi, aku pun pergi ke rumah Mok Mek dan Che. Masih kekal dalam ingatanku betapa gembira mereka menyambut kedatanganku. Lebih gembira lagi bila aku menyatakan yang aku akan bermalam di rumah mereka selama beberapa hari. Sepanjang masa aku bersama Mok Mek. Dia ke dapor, aku ke dapor, kemana saja dia pergi aku ikut. Hinggalah ke tempat tidur. Masih ku ingat, aku tidur bersama Mok Mek dan Che. Kami berbual-bual sehinggalah kami akhirnya dibuai mimpi.


Dalam perbualan itu, aku cuba yakinkan Mok Mek mengapa beliau harus pergi ke Hospital, kerana makin lama dibiarkan ketumbuhannya makin besar dan makin merebak. Aku cuba yakinkan Mok Mek bahawa kita harus berusaha dan tidak harus menyerah kepada takdir semata-mata. Selepas beberapa hari di rumah Mok Mek, aku pulang ke rumahku.


Selang sehari kemudian, abah memberitahuku bahawa Mok Mek mengambil keputusan untuk pergi ke Hospital dan Mok Mek mahu aku membawanya ke sana. Jadi sebelum aku bertolak ke UK, aku sempat menghabiskan masa bersama keluarga dan juga meluangkan masa bersama Mok Mek. Memberikan beliau semangat supaya beliau tidak putus asa dengan penyakit yang menimpa dirinya.


Sewaktu kapalterbang yang membawaku berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang menuju Heathrow Airport London, aku tidak dapat menahan sebak dan tangisan yang selama ini ku tahan. Sebak kerana pertama kali berpisah dengan keluarga dalam jarak yang begitu jauh dan sedih kerana mengenangkan nenekku, Mok Mek. Dalam hati aku berdoa semoga Mok Mek panjang umur, dan aku sempat kembali dan menjaganya sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang akhir.


Maha suci tuhan yang maha kaya. Sewaktu aku menamatkan pengajianku di UK, kepulangan ku ke tanahair Malaysia hanya disambut oleh Abah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Hatiku sedih bila melihat ibuku tidak bersama Abah, begitu juga dengan adik-adikku. Rupanya mereka semua berada di hospital. Ibuku sakit. Jadi sebaik sahaja pulang dari UK, aku banyak menghabiskan masa di hospital. Mula-mula menjaga ibuku yang sakit kemudian menjaga nenekku, Mok Mek.


Bila ibuku dibenarkan keluar daripada hospital dan beransur sembuh. Mok Mek pula dimasukkan ke hospital. Mok Mek kehilangan dada sebelah kanan kerana ketumbuhan dan kini beliau dimasukkan ke hospital kerana barah yang asalnya pada bahagian dada kini sudah merebak ke seluruh badannya. Aku, adikku Ida, sepupuku dan makcikku bergilir-gilir menjaga Mok Mek di hospital. Sepanjang waktu di hospital, masaku banyak ku habiskan dengan berbual-bual dengan Mok Mek, menyuapkan makanan dan memberikan beliau minum. Bila waktu mandi atau waktu beliau mahu ke tandas, akulah yang akan membawanya. Mok Mek, cukup senang dengan aku. Aku pun sendiri tidak tahu, mungkin kerana hubungan kami memang rapat, sebab itu beliau 'prefer' aku daripada orang lain.


Satu hari, Mok Mek telah menanggalkan cincin di jari manisnya dan menyarungkan ke jariku. "Nah pakai Mok nyer cincin ni," kata Mok Mek. Aku membiarkan saja beliau menyarungkan cincin emas yang bertahtakan batu nilam bewarna merah. Senang sekali aku memakainya. Cincinnya masih di jariku sehinggalah Mok Mek menghembuskan nafasnya yang akhir tidak lama selepas itu. Pemergian Mok Mek kuiringi dengan tangisan. Hampir 3 hari air mataku tidak berhenti mengalir. Itulah kali permata dalam hidupku, aku kehilangan sesorang insan yang sangat rapat denganku. Segala kenangan semasa kecil kembali menggamit ingatan. Air mataku gugur lagi mengenang Mok Mek. Hanya iringan doa yang sering ku kirimkan buat Mok Mek, semoga rohnya tenang di alam barzah.


Selepas pemergian Mok Mek, barang-barang kemas peninggalan Mok Mek, dibahagikan antara 3 orang anaknya. Abah, makcik dan pakcikku. Alhamdulillah walaupun sebenarnya anak lelaki berhak untuk mendapat bahagian yang lebih daripada anak perempuan, abah dan pakcikku 'menghalalkan' bahagian mereka untuk dibahagikan samarata kepada makcikku. Surprisingly… kebanyakan barang-barang kemas Mok Mek, setiap jenis ada tiga…seperti tiga utas rantai, tiga gelang tangan dan sebagainya. Hinggalah sampai kepada satu bentuk subang/anting-ating yang hanya ada satu bentuk. Subang emas yang berbatukan nilam putih tu memang cantik dan memang antik. Abah, Makcik dan Pakcik kehairanan mengapa subang tu hanya ada sebentuk sedangkan yang lainnya semuanya dalam tiga. Kak Ani, sepupuku yang ada bersama waktu itu, mencelah dengan jawapan kepada persoalan mengenai subang yang sebentuk itu.


"Masa arwah Mok Mek masih hidup, setiap kali beliau mengeluarkan barang kemas beliau, beliau selalu berkata, tidak ada sesiapa pun yang 'kena' (kelihatan cantik) memakai subang/anting-anting ni kecuali Maa. Hanya Maa sahaja yang 'padan' memakai subang ni, dan subang ni hanya untuk Maa," Itulah kata Kak Ani seolah-olah menyampaikan amanat Mok Mek.


Abah memberikan subang itu kepadaku. Hatiku tersentuh lagi dengan pemberian Mok Mek. Aku terasa betapa istimewanya diriku di kacamata nenek kesayanganku. Subang peninggalannya begitu sentimental kepada diriku. Kemudian aku teringat pada cincin yang sedang melekat di jariku. Aku tiba-tiba tersentak dan tersedar bahawa Mok Mek tidak pernah sekali-kali menyatakan yang cincin tersebut adalah pemberiannya kepadaku. Seingatku, beliau menyuruh aku memakainya....


Aku segera mendapatkan abah dan memberitahu abah mengenai cincin tersebut. Hatiku berat sekali sewaktu menanggalkan cincin itu dijariku untuk ku berikan pada Abah. " Abah, tanyalah pakcik dan makcik, kalau dia orang nak jual cincin ni, letaklaa harga… Maa nak beli. Maa sayang cincin ni bah…," kataku pada Abah. Abah hanya menganggok sahaja.


Malam itu Abah kembali bersama cincin tersebut dan meletak cincin itu ke tapak tanganku. " Makcik dan pakcik menghalalkan cincin ini pada Maa. Mereka kata, harga cincin ini tak seberapa berbanding dengan masa yang telah Maa luangkan menjaga Mok Mek di hospital dan dirumah sewaktu arwah Mok Mek masih hidup. Cincin ni memang pemberian Mok Mek untuk Maa, itu kata mereka," terang Abah.


Aku mengenggam erat cincin tersebut seolah-olah azimat yang amat bererti. Airmataku bergenang.


Ingatanku kembali lagi kepada zaman silam, zaman kanak-kanak, sewaktu aku didodoi…dimanjakan… dijaga oleh Mok Mek. Aku terkenang segala senda gurau…terkenang bualan dan cerita-cerita yang Mok Mek sampaikan kepadaku sebelum kami tidur… Sayang, usia Mok Mek tidak panjang…namun beliau tetap hidup dalam kenangan dan dalam ingatanku. Al-fatihah.